Pada zaman dahulu, tinggal seorang lelaki tua di Basra bersama seorang anak lelakinya yang bijak dan kacak. Anaknya merupakan harapannya sehingga dia melaburkan sejumlah wang yang besar untuk melanjutkan pengajian anaknya bersama seorang ulama terkenal. Setelah hampir bertahun-tahun lamanya pemuda tersebut menuntut ilmu, akhirnya dia pulang untuk berjumpa dengan bapanya.
Si ayah menanti anaknya di muka pintu dengan penuh rasa kerinduan yang teramat. Di peluk erat tubuh pemuda itu lantas bertanya, "wahai anakku, apakah yang telah kamu pelajari selama bertahun-tahun?" Anaknya menjawab bahawa dia telah belajar segala ilmu yang dimiliki oleh gurunya itu. Dengan riak wajah sedikit kecewa, ayahnya memintanya untuk kembali kepada gurunya.
"Dia ajar kepadamu perkara yang boleh diajar. Kembalilah kamu kepada gurumu dan minta dia tunjukkan kepadamu ilmu yang tidak boleh diajar," ujar ayahnya. Si anak akur dengan permintaan bapanya, lalu segera kembali kepada gurunya semula. Sesampainya di tempat gurunya itu, si pemuda lantas bercerita permintaan bapanya. Guru faham dengan apa yang dimaksudkan.
"Aku punya 400 ekor kambing, kamu kumpulkan semua kambing ini dan bawalah ia ke atas bukit itu. Apabila jumlah kambing ini meningkat kepada seribu ekor, barulah kamu pulang kembali ke sini." Ujar guru itu.
Maka dengan bersusah payah pemuda itu mengumpulkan 400 ekor kambing yang bertebaran untuk dibawa ke atas bukit sepertimana yang dikehendaki gurunya. Berbulan-bulan pemuda itu tidak berjumpa dengan manusia dan menjadi seorang penggembala. Hanya kambing sahaja menjadi peneman dirinya. Perlahan-lahan dia mula lupa segala ilmu duniawi, tiada lagi ego dan kebanggaannya. Dia menjadi tenang dan hanya merendah diri kepada-Nya.
Ternyata dalam kesunyian tidak berbicara dengan siapa pun pemuda tersebut mulai belajar ilmu yang tidak boleh diajarkan itu. Dia berusaha memahami alam, di mana ada rumput, di mana ada air, di mana dia boleh berteduh dari panas. Dia juga belajar berinteraksi dengan makhluk lain tanpa harus berbicara. Dia menjadi faham apa yang diinginkan kambing yang dijaganya, dan kambing juga seakan faham dengan arahan pemuda itu.
Setelah dua tahun berlalu, kambing-kambing ini pun telah mencapai seribu ekor. Waktunya kini menggiring balik seribu ekor kambing. Namun perjalanan balik ini menjadi lebih ringan kerana adanya komunikasi tanpa bicara dengan kambing tersebut, dan si pemuda juga telah belajar ilmu yang tidak boleh diajarkan oleh sesiapa pun.
0 Response to "Ilmu Yang Tidak Boleh Di ajar"
Post a Comment